PUTRAJAYA - Sikap degil enam majikan tempatan menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran membawa padah apabila mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sembilan lokasi sekitar Seri Kembangan dan Bandar Baru Klang, Selangor pada Rabu.Operasi yang bermula jam 7.30 malam itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 149 pegawai pelbagai pangkat digerakkan ke premis perniagaan yang disyaki menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang."Seramai 307 individu diperiksa dalam operasi berkenaan membabitkan 121 warga tempatan dan 186 warga asing."Hasil pemeriksaan, seramai 174 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Zakaria berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 99 warga Myanmar, 29 Indonesia, 11 Thailand, 10 Vietnam, tujuh China dan India, lima Bangladesh, dua Laos serta Nepal serta masing-masing seorang warga Kemboja dan Nigeria," katanya.Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah."Enam majikan warga tempatan turut ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63."JIM turut mengeluarkan 17 saman kepada saksi (Borang 29) terhadap beberapa pelanggan yang berada di lokasi kejadian," katanya.Zakaria berkata, sehingga Rabu, seramai 1,880 majikan telah ditahan dengan jumlah kutipan kompaun dikenakan sebanyak RM41 juta."Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara dua hingga 46 tahun dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.Menurutnya, JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.