KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini pada Khamis mengemukakan pernyataan saksi tambahan berhubung beberapa hantaran WhatsApp yang dikirimkan kepadanya berkaitan kes anaknya sebelum inkues bermula.Noraidah Lamat, 46, berkata, pernyataan yang mempunyai 28 muka surat itu disediakan sendiri berhubung beberapa hantaran yang didakwanya disebarkan secara meluas sehingga memberi tekanan emosi terhadap dirinya."Saya juga ingin menarik perhatian mahkamah pada beberapa hantaran WhatsApp yang telah dikirimkan kepada saya berkaitan kes Zara Qairina semenjak ia bermula."Hantaran WhatsApp ini telah disebarkan secara meluas sehingga memberi tekanan emosi kepada saya dan tujuan penyebaran ini adalah untuk mempengaruhi orang ramai dengan menyebarkan naratif awal," katanya ketika membacakan pernyataan tambahan tersebut,Dalam pernyataan itu, Noraidah yang juga saksi ke-82 antara lain memaklumkan mengenai dakwaan penyebaran kandungan WhatsApp oleh seorang guru, maklumat yang diterima daripada anak tirinya berhubung panggilan seorang pegawai polis serta tangkap layar kumpulan WhatsApp keluarga Ketua Warden.Beliau turut menyatakan mengenai maklumat yang diterimanya berhubung kewujudan 'One Page Report' daripada unit Bimbingan dan Kaunseling atau disiplin sekolah yang didakwa telah disebarkan kepada warga sekolah dan orang awam.Dalam keterangannya semasa disoal peguam Shahlan Jufri, Noraidah berkata, dua individu yang memperkenalkan diri sebagai sepupu Ketua Warden sekolah tersebut datang menemuinya di rumahnya di Sipitang bagi menyerahkan beberapa dokumen dan tangkap layar tersebut. "Mereka beritahu sebaik sahaja bercerita dalam kumpulan WhatsApp keluarga, mereka terus disingkirkan dari kumpulan WhatsApp tersebut."Saya perhatikan emak Ketua Warden ini mula aktif di Facebook menjawab naratif-naratif dan saya pernah melihat dia membuat komen seorang doktor yang bernama Dr Naim," dakwanya. Peguam kemudian bertanyakan lebih lanjut mengenai Dr Naim yang disebut dalam keterangan Noraidah."Saya tidak mengenalinya secara langsung tapi ada ramai yang memberitahu saya maklumat mengenainya. Saya difahamkan dia seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth," tambahnya. Katanya lagi, Dr Naim kemudiannya dikenali melalui hantaran di Facebook menggunakan akaun Muhammad Naim yang banyak mengulas mengenai kes Zara Qairina."Saya tidak kenal dia sebelum namanya tular. Dia banyak mengulas kes ini di Facebook (akaun Muhammad Naim). Dia menyamakan kes anak saya dengan cerita 'Zootopia'. Oleh kerana kenyataannya melampau, saya dan Nur Shira membuat laporan polis di Sipitang," katanya.Noraidah berkata, beliau menganggap Dr Naim mempunyai pengaruh kerana setiap hantaran dibuatnya menerima komen daripada beberapa akaun yang didakwa terdiri daripada ibu bapa kepada murid di sekolah anaknya."Kerana setiap posting dia, akan ada komen-komen berjemaah daripada ibu bapa murid yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya dan Zara," katanya.