KUALA LUMPUR: Pempengaruh, Isa Isarb, menyuarakan kebimbangan mengenai pengendalian pelarian di Malaysia dengan memberi amaran bahawa ketiadaan sistem suaka rasmi boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan yang serius.
Dalam hantaran media sosial terbaharunya selepas melawat ke Cox's Bazar, Bangladesh, Isa mempersoalkan kebergantungan Malaysia kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menentukan status pelarian, dengan mendakwa kerajaan sepatutnya mempunyai kawalan lebih besar terhadap pihak yang dibenarkan untuk terus berada di negara ini.
Beliau mendakwa Malaysia mungkin berdepan situasi yang lebih berbahaya berbanding Bangladesh, walaupun negara itu menempatkan sejumlah besar pelarian di kem yang ditetapkan.










