KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan gabungan langkah jangka pendek dan penyelesaian jangka sederhana yang seimbang bagi menangani peningkatan kos operasi perniagaan, memperkukuh daya saing industri serta memastikan pertumbuhan ekonomi terus memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi Belanjawan 2027.
Ketua Pegawai Operasi, Perancangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat MK Land Holdings Bhd (MK Land), Nazri Tumin, berkata pendekatan berkenaan penting bagi memberikan kelegaan terhadap tekanan ekonomi semasa, selain menangani cabaran struktur yang mempengaruhi keupayaan perniagaan untuk melabur, berkembang dan menyumbang secara mampan kepada ekonomi negara.
Katanya, perkembangan luaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daripada pandemik hingga gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos operasi, menunjukkan pelbagai sektor industri boleh terkesan dalam tempoh singkat.










