KUALA LUMPUR: Pelabur industri di Taman Teknologi Silver Valley (SVTP), Ipoh, Perak, berpotensi menikmati kos tenaga lebih rendah menerusi pembangunan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui hasil kerjasama strategik antara Advancecon dan ACEN C&I.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Advancecon Development Sdn Bhd, pemaju induk SVTP, dengan ACEN C&I MY Holdings Sdn Bhd, anak syarikat ACEN C&I HK Limited, bagi meneroka penyelesaian bekalan tenaga bersih yang lebih berdaya saing untuk pengilang dan pengendali industri.

Menerusi kerjasama berkenaan, syarikat yang beroperasi di SVTP dijangka berpeluang mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar atas bumbung serta pemerolehan tenaga boleh diperbaharui daripada projek solar berskala utiliti menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).