PETALING JAYA: Sektor perbankan, utiliti dan tenaga, pembinaan serta elektrik dan elektronik (E&E) dijangka menjadi antara kaunter saham yang terus mendapat perhatian pelabur dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang.
Ini susulan sokongan daripada prestasi pendapatan korporat dan pemangkin struktur ekonomi domestik.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, dalam keadaan Bursa Malaysia masih berada dalam fasa konsolidasi, pemilihan sektor dan kaunter berasaskan asas dijangka menjadi lebih penting berbanding jangkaan terhadap kenaikan pasaran secara menyeluruh.
“Sektor perbankan terus disokong aktiviti kredit dan ekonomi domestik, manakala utiliti serta tenaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan elektrik, pembangunan pusat data, tenaga boleh baharu dan pelaburan infrastruktur.








