BELANJAWAN 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini perlu mengambil kira pelbagai kemungkinan ekonomi termasuk risiko konflik geopolitik yang boleh memberi kesan terhadap harga minyak, makanan, kos pengangkutan, rantaian bekalan dan nilai ringgit.

Risiko geopolitik kini perlu diberi perhatian lebih besar dalam penyediaan belanjawan berikutan kesannya yang boleh merebak kepada pelbagai sektor ekonomi dan akhirnya memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.

Malaysia sendiri sudah merasai kesan konflik di Asia Barat apabila ketegangan yang berlaku menyebabkan harga minyak dunia meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kos pengangkutan, logistik dan bekalan barangan.

Kenaikan harga minyak dunia turut memberi kesan terhadap harga bahan api. Pada Julai lalu, harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi serta diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah dunia selepas tercetusnya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.