Pemergian suami secara mengejut pada Februari,2025 menyebabkan Zaharah Mustapha mengalami kemurungan teruk sehingga mengasingkan diri di dalam rumah kerana takut berjumpa orang ramai.
Zaharah, 60, berkata kehilangan suami akibat serangan jantung cukup meninggalkan kesan terhadap dirinya kerana hubungannya dengan arwah suami sepanjang perkahwinan mereka, sangat rapat dan boleh dikatakan mereka sentiasa bersama ke mana saja.
“Arwah suami mengalami serangan jantung. Malam itu, kami makan bersama dan arwah nampak berselera dan menambah nasi. Arwah pun bergurau macam biasa. Esok paginya, dia sudah tiada.
“Perubahan saya selepas ketiadaan suami menyebabkan tiga anak saya, takut melihat keadaan saya.
“Mereka tertanya-tanya kenapa ibu mereka jadi macam ini? Saya tidak mahu bercakap dengan orang, tidak mahu keluar rumah. Bila terpaksa keluar, pakai pelitup muka. Saya menggeletar dan hilang keyakinan diri,” katanya.








