NAPLES: Scott McTominay kembali menjalani latihan bersama Napoli, 30 hari selepas menjalani prosedur jantung yang menyaksikan bintang Scotland itu diketepikan daripada aksi kompetitif.
Bekas pemain Manchester United itu menjalani prosedur ablasi di Hospital Spire Manchester pada 8 September lalu bagi membetulkan masalah degupan jantung tidak teratur.
Prosedur berkenaan disifatkan sebagai 'berjaya sepenuhnya', manakala Napoli kini mengesahkan pemain tengah berusia 29 tahun itu sudah cergas untuk kembali beraksi.
Dalam kenyataan semalam, kelab Itali berkenaan memaklumkan McTominay menjalani pemeriksaan diagnostik lanjut yang mengesahkan dia 'cergas untuk bermain'.
McTominay sebelum ini menjalani latihan secara berasingan, namun kini sudah kembali menyertai sesi bersama rakan sepasukannya.








