BATU PAHAT: Tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Segamat merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 186 diikuti Pasir Gudang (180), Larkin (178) dan Tangkak (171).
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Batu Pahat yang terjejas teruk semalam mencatatkan bacaan IPU 161 manakala Pengerang dan Kota Tinggi masing-masing 165 dan 164.
Berdasarkan kategori APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan.
Semalam, kerajaan negeri mengumumkan semua sekolah di Johor ditutup selama dua hari bermula hari ini, susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh daerah di negeri ini.








