PETALING JAYA: Kemunculan semula jerebu rentas sempadan ketika ini berpunca daripada 238 titik panas yang dikesan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, berdasarkan imej satelit NOAA-20 semalam, sebanyak 178 titik panas dikesan di Kalimantan manakala 60 lagi di Sumatera.

Menurutnya, empat titik panas turut dikesan di Sabah dan Sarawak.

“Analisis ramalan Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia (MyCMAQ) menunjukkan kehadiran jerebu rentas sempadan dijangka memberi kesan signifikan kepada kawasan yang berada dalam trajektori pergerakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keadaan itu turut menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan negara berada pada tahap tidak sihat.