JAKARTA: Kementerian Pertanian Indonesia mempertingkat usaha mengawal penyakit haiwan di Gunungkidul, Yogyakarta, selepas satu kes antraks dikesan di Desa Dadapayu.

Pengarah Kesihatan Haiwan, Bahagian Penternakan dan Kesihatan Haiwan kementerian berkenaan, Hendra Wibawa, berkata tindakan berkenaan membabitkan pihak berkuasa tempatan serta pegawai kesihatan haiwan.

"Maklum balas dilaksanakan secara bersepadu. Pegawai kesihatan haiwan dan pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan epidemiologi, menyediakan perkhidmatan kesihatan ternakan, melaksanakan nyahkuman dan vaksinasi serta menjalankan pemeriksaan makmal," katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan itu turut merangkumi siasatan epidemiologi, perkhidmatan kesihatan ternakan, nyahkuman, vaksinasi, pemeriksaan makmal, pemantauan kesihatan haiwan serta komunikasi dan pendidikan kepada masyarakat.