KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mempunyai tempoh kira-kira 27 tahun untuk membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi status negara tua menjelang 2048, iaitu fasa peralihan yang jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tempoh singkat itu memberi ruang masa terhad kepada kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara berbanding Perancis yang mengambil masa 115 tahun, Australia (73 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).

Beliau berkata Malaysia secara rasmi mencapai status negara menua pada 2021 apabila populasi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencecah tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.

"Berdasarkan unjuran semasa, Malaysia dijangka mencapai status 'negara tua' pada 2048 apabila peratusan tersebut meningkat kepada 14 peratus dan seterusnya menjadi 'negara sangat tua' menjelang 2060 apabila mencecah 20 peratus.