KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha memperbesar kumpulan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia untuk industri bagi membolehkan Malaysia meraih nilai lebih tinggi daripada kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Naib Presiden Korporat, Operasi Pemasangan dan Ujian NAND Micron Technology, Amarjit Sandhu, berkata Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera, juruteknik dan teknologis yang mampu menyokong operasi pembuatan yang semakin automatik, dipacu data dan kompleks dari segi teknikal.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan penyelarasan lebih rapat antara industri, universiti, politeknik serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain peluang meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dalam kecerdasan buatan (AI), automasi dan pembuatan termaju.