KUALA LUMPUR: Tinggal beberapa hari sebelum melangsungkan perkahwinan, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui antara kebimbangan terbesarnya adalah terlepas pandang jemputan kenalan ke hari bahagianya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Bella, persiapan menuju hari perkahwinan menjadi semakin mencabar apabila dia masih perlu memenuhi pelbagai komitmen kerja termasuk penggambaran, rakaman dan kolaborasi bersama jenama.

“Sebenarnya kebimbangan saya lebih kepada proses menuju hari bahagia. Sudah tentu saya risau sekiranya ada perkara yang terlepas pandang, terutama membabitkan jemputan.

“Dalam masa sama, saya masih mempunyai komitmen kerja seperti kolaborasi, penggambaran dan rakaman. Banyak perkara perlu dilakukan dalam satu masa. Malah, ada mesej WhatsApp daripada kawan-kawan yang saya sendiri belum sempat semak,” katanya.