PADANG BESAR: Ujian berat menimpa ibu tunggal yang membesarkan empat anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU), apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Bagi Salbiah Jamili, 41, segalanya bermula apabila dia disahkan menghidap penyakit itu ketika sarat mengandung lapan bulan anak bongsu, Annur Safiya, 3.

Katanya, dugaan terus menimpa apabila arwah suami, Alias Kasim yang sebelum itu sihat, tiba-tiba dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat darah tinggi dan meninggal dunia pada usia 46 tahun.

"Saya sentiasa menaruh harapan untuk kembali sembuh kerana anak-anak masih perlukan saya.

"Saya mahu terus menghantar mereka ke sekolah dan menyediakan makan minum untuk anak-anak," katanya.