KUALA LUMPUR: Pengguna TNG eWallet yang layak kini boleh meneroka pelaburan saham antarabangsa menerusi kerjasama strategik antara TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) dan Webull Securities (Malaysia) Sdn Bhd (Webull Malaysia).

Kerjasama itu membolehkan pengguna mengakses pasaran saham Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan saham A China menerusi GOfinance, hab kewangan sehenti dalam aplikasi TNG eWallet.

Pengguna yang memenuhi syarat boleh membuka akaun dagangan Webull Malaysia secara digital dan menambah dana terus daripada baki TNG eWallet, tertakluk kepada kelayakan serta kelulusan akaun.

Perkhidmatan dagangan itu disediakan oleh Webull Malaysia, pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).