KUALA LUMPUR – Malaysia sudah bersedia dari segi aset, kepakaran dan tenaga manusia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran hutan serta tanah yang menjadi antara punca jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bagaimanapun sehingga hari ini, Malaysia masih belum menerima ‘green light’ (kebenaran) bagi memulakan operasi tersebut.

“Daripada pihak Malaysia kita sudah bersedia daripada segi aset, kepakaran dan juga manpower. We are ready to help (kita sudah bersedia untuk membantu),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MyNAP High-Level Forum di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia sebelum ini sudah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia berhubung tawaran bantuan menangani kebakaran yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.