SEREMBAN – Barisan Exco Negeri Sembilan yang sebelum ini berdepan sekatan akses kini dibenarkan memasuki semula Wisma Negeri, namun buat masa ini hanya dalam kapasiti sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing.
Kebenaran itu membolehkan mereka kembali memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjalankan urusan berkaitan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagaimanapun, mereka ketika ini belum menjalankan tugas dalam kapasiti sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan isu berkaitan kedudukan pelantikan barisan berkenaan.
Difahamkan, tiga wakil rakyat yang dibenarkan masuk itu ialah ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris yang terdahulu dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar (terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali (terdahulu Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup).










