KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar tahun satu melibatkan dua kohort, tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu telah diluluskan berdasarkan unjuran enrolmen dan keperluan sebenar kementerian.

“Bagi calon yang telah lulus saringan kesihatan, mereka akan menerima tawaran lantikan pada bulan ini (Oktober), dan lantikan sebenar akan dilakukan pada 7 Disember ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan (KPM) dari segi prasarana dan sumber manusia susulan ketetapan memperluas akses kemasukan ke tahun satu bagi kanak-kanak umur enam tahun bermula kalendar akademik 2027.