Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari berkata kelulusan bajet LTdL tahun ini agak lewat kerana beberapa faktor teknikal di peringkat Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari akan cuba sedaya upaya mengembalikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) ke pulau itu tahun depan.

Katanya, LTdL tahun ini tidak dapat memasuki pulau itu kerana kekangan bajet termasuk kos pengangkutan yang tinggi.

“Saya pun telah memberi pemakluman kepada kerajaan negeri (Kedah) berkaitan tahun ini kita tak dapat masuk ke Langkawi disebabkan kekangan bajet.

“Insya-Allah tahun depan kita cuba sedaya upaya untuk masuk ke Langkawi dan pastikan Ahli Parlimen Langkawi bersama-sama LTdL. Kalau perlukan basikal, akan sediakan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.