Warga China berusia awal 40-an itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit kes samun kedai emas di SkyAvenue, Genting Highlands, membabitkan kerugian kira-kira RM1.75 juta.

Warga China berusia awal 40-an itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. Ini menjadikan tujuh individu diberkas setakat ini, termasuk lima warga asing.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata suspek ditahan setibanya di Malaysia bagi membantu siasatan dan direman sehingga Sabtu ini, tetapi tiada barangan berkaitan kes itu dirampas daripadanya.

"Siasatan masih diteruskan dan baki suspek akan kita kesan serta tangkap," katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Bentong dan Pengerusi Perkep Bentong di IPD Bentong.