BENTONG: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes samun kedai emas di SkyAvenue, Genting Highlands, membabitkan kerugian kira-kira RM1.75 juta, menjadikan keseluruhan tujuh individu diberkas setakat ini.
Lelaki warga China berusia awal 40-an, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata suspek ditahan ketika baru tiba di Malaysia bagi membantu siasatan.
"Suspek direman sehingga Sabtu ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong dan Pengerusi PERKEP Daerah Bentong di IPD Bentong, di sini, hari ini.










