KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini diharap memberi penekanan lebih menyeluruh terhadap pembangunan industri kreatif, khususnya aspek kebajikan, pembangunan modal insan dan kelangsungan kerjaya tenaga kerja yang menjadi penggerak utama sektor berkenaan.
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Industri Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh, berkata kekuatan industri filem tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah produksi dan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan tenaga kerja yang menggerakkan sesebuah karya.
Khalil berkata, pekerja filem perlu dilihat sebagai aset strategik kerana mereka membentuk rantaian kerja yang memastikan sesebuah produksi dapat direalisasikan daripada peringkat praproduksi hingga pascaproduksi.









