KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi pada 2028, ketika kedudukannya kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang berkenaan yang ditetapkan Bank Dunia.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Beyond the Middle-Income Trap: Does Malaysia's Growth Model Deliver Broad-Based Prosperity?, yang disediakan pelatih KRI, Khor Hui Min.

Menurut KRI, 16 tahun selepas Model Ekonomi Baru (NEM) diperkenalkan, ekonomi Malaysia kini lebih besar, infrastruktur berkembang dan pelaburan asing terus mengalir ke negara ini pada skala yang besar.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pembangunan infrastruktur mega dan pertumbuhan Malaysia diterajui sektor swasta yang mana sebahagian besarnya telah direalisasikan.