KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2025 bertambah baik dengan peningkatan lebihan hasil RM2.184 bilion dan pengurangan defisit RM3.878 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Audit Negara menerusi kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 memaklumkan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menurun daripada 4.1 peratus kepada 3.7 peratus pada 2025.

"Pencapaian ini lebih kukuh berbanding sasaran 3.8 peratus ditetapkan dalam Belanjawan 2025. Ini meletakkan asas yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka masa sederhana di bawah tiga peratus," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan pengauditan dilaksanakan, Ketua Audit Negara memberikan Pendapat Tanpa Teguran berserta Perenggan Hal-hal Lain bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025.