SHAH ALAM - Usaha Malaysia untuk mengesahkan status 54 rakyat Malaysia masih dilaporkan belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal tidak terhenti meskipun operasi mencari dan menyelamat di negara itu diumum ditamatkan pada 30 September lepas.Kementerian Luar Negeri berkata, peralihan operasi mencari dan menyelamat kepada operasi pencarian dan pemulihan tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesahkan status rakyat Malaysia terjejas telah berakhir.Menurut Wisma Putra, Malaysia akan terus mendapatkan pengesahan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, selain hubungan dengan pihak berkuasa berkaitan serta saluran rasmi lain tersedia."Kementerian juga akan mengikuti perkembangan proses perundangan dan pentadbiran sedang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi dan prosedur terpakai kepada mangsa bencana masih belum dapat dihubungi."Kementerian akan terus memaklumkan perkembangan telah disahkan bagi setiap kes secara langsung kepada waris terdekat individu yang terlibat, " katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini, media melaporkan penantian keluarga selama 37 hari berakhir apabila seorang daripada 55 rakyat Malaysia dilaporkan hilang susulan kejadian banjir besar di Nepal disahkan selamat dan sudah kembali ke pangkuan keluarga.Wisma Putra turut mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan belum dapat dihubungi telah hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober 2026 dan disahkan selamat.Kementerian turut mengesahkan individu berkenaan telah selamat kembali ke Malaysia pada 2 Oktober 2026.Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia akan mengambil keterangan daripada individu itu bagi melengkapkan rekod rasmi berkaitan kes itu selain menjalani saringan kesihatan susulan kepulangan beliau."Dengan status individu berkenaan telah disahkan, rekod kementerian menunjukkan 54 rakyat Malaysia masih dilaporkan belum dapat dihubungi," tambah Wisma Putra.Kementerian berkata, setiap kes akan terus disahkan secara berasingan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran yang tersedia.Orang ramai dan pihak media turut digesa supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.