PETALING JAYA: Perdana Menteri berharap skuad bola sepak negara iaitu Harimau Malaya akan memperoleh kejayaan dalam perlawanan menentang Vietnam pada petang ini di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh rakyat Malaysia bersama semua pemain yang akan berjuang pada pukul 5 petang ini.
“Selamat maju jaya buat skuad Harimau Malaya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam. Berjuang dengan penuh semangat dan berikan yang terbaik demi lencana di dada. Rakyat Malaysia bersama kalian.
“Semoga perlawanan ini tidak perlukan bantuan masa tambahan yang terlalu panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Aksi menentang Vietnam itu menjadi peluang terakhir Harimau Malaya untuk menamatkan kempen Piala ASEAN dengan penamat positif selepas gagal melangkah ke final. – UTUSAN










