MOGADISHU: Somalia tidak akan menerima kehadiran Israel di negara itu sama sekali dan akan menentang sebarang percubaan untuk diheret ke dalam krisis Asia Barat, kata Presidennya, Hassan Sheikh Mohamud kepada saluran berita Al Jazeera.

Bercakap dalam satu wawancara eksklusif, Mohamud memaklumkan bahawa Israel merancang untuk membina pangkalan tentera laut di Berbera dan menggunakan kemudahan lapangan terbang di bandar berkenaan. Beliau menambah bahawa matlamat sebenar rejim Zionis itu adalah untuk berada lebih dekat dengan negara-negara Teluk dan Iran.

Berbera merupakan sebuah bandar pelabuhan di pesisir Teluk Aden di Somaliland, iaitu wilayah yang mengisytiharkan kemerdekaannya sendiri di barat laut Somalia yang diiktiraf oleh Israel tahun lalu. Namun,  Berbera masih dituntut oleh kerajaan pusat di Mogadishu.