KUALA SELANGOR – Seorang ibu bersama dua anaknya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori 20 tan dalam kemalangan di Jalan Raja Muda Musa di sini, hari ini.
Ketiga-tiga mangsa berusia antara lapan hingga 44 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak wanita terbabit, lelaki berusia 10 tahun, parah di kepala dalam kemalangan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.37 tengah hari.
Katanya, maklumat awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah MPV jenis Proton Exora dengan lori.










