Abuja: Nigeria mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara bermula Selasa bagi 32 anggota Tentera Udara yang terbunuh apabila sebuah pesawat tentera terhempas di Negeri Ondo, barat daya negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.
Presiden Nigeria Bola Tinubu, ketika mengisytiharkan tempoh berkabung itu pada lewat Isnin, turut mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai penghormatan kepada mangsa, termasuk 25 penumpang dan tujuh anak kapal.
"Ini adalah detik yang menyakitkan bagi angkatan tentera kita dan seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, sambil mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian itu.
Tentera Udara Nigeria sebelum ini mengesahkan bahawa pesawat turboprop enjin berkembar ATR-42 dengan nombor ekor NGR 931 itu sedang menjalankan misi rutin dari Benin City di selatan Nigeria ke Lagos.








