KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan perluasan kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menutup premis yang menyediakan atau menjual makanan mengandungi bahan memudaratkan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 itu bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan dengan memperluas kuasa pegawai diberi kuasa untuk menjalankan siasatan, selain kuasa pemeriksaan sedia ada.
Beliau berkata, pegawai terbabit juga akan diberikan akses kepada maklumat rekod, data komputer atau data digital bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilaksanakan selaras dengan perkembangan transaksi dalam talian.
“Pindaan itu turut membolehkan pegawai mendapatkan maklumat berkaitan pengiklanan makanan serta memeriksa buku, dokumen atau rekod di premis berkaitan, termasuk premis yang menghasilkan iklan makanan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.








