IPOH: Mentaliti dalam kalangan pengusaha restoran nasi kandar bahawa mereka tidak memerlukan sijil halal kerana beragama Islam perlu diubah.
Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, persepsi tersebut masih wujud dalam kalangan sebahagian pengusaha yang menganggap status sebagai orang Islam sudah memadai untuk menjamin halalnya sesuatu makanan.
Katanya, sijil itu bukan sekadar pengiktirafan untuk status halal makanan, sebaliknya memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan makanan.
“Sekarang ini kita nampak yang bukan Islam lebih banyak memohon sijil halal berbanding orang Islam.
“Justifikasi kita ialah kita orang Islam, jadi tidak perlu ada sijil halal sedangkan kita kena faham, sijil halal ini bukan bermakna kita jual makanan haram tetapi lebih kepada aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan,” katanya.










