KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan arahan polis dengan mengekori konvoi polis pengiring Timbalan Perdana Menteri, semalam.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu selepas Bryan Marc Daniel, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Bryan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna biru didakwa mengabaikan arahan yang diberikan oleh pegawai polis semasa menjalankan tugas.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dari arah Kajang menghala ke Subang Jaya, pada pukul 9.32 pagi, semalam.