KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan ingkar arahan polis ketika mengekori konvoi Timbalan Perdana Menteri, semalam.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu terhadap Bryan Marc Daniel, 27, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu Honda CRV ingkar arahan yang diberi oleh pegawai polis dalam melaksanakan tugas di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari arah Kajang menghala ke Subang Jaya pada jam 9.32 pagi, semalam.
Beliau didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 21(2) Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.










