KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, siasatan berhubung isu tersebut oleh polis telah selesai dan laporan sudah dihantar kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana JPA masih menunggu keputusan daripada AGC.

“Kes itu kini dalam siasatan polis dan siasatan sudah selesai.Laporan juga dihantar kepada AGC yang akan menentukannya.

“Kita sedang tunggu laporan daripada AGC. Jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut,” katanya selepas mengadakan Program Ziarah Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, Siti Zaitun Abdullah, 78, di Pusat Jagaan ShalisCare Centre, di sini hari ini.