BACHOK: "Setiap malam anak menangis dan meracau serta kelihatan seperti sedang mempertahankan diri daripada diserang," kata Zuraiman Mahmood, 47, bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang cedera parah diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kemasin, di sini, 1 Oktober lalu.

Katanya, sehingga kini anaknya, Azuar Firdaus masih trauma dan ketakutan akibat kejadian berkenaan.

Susulan itu, Zuraiman berkata, Azuar dirujuk ke di Klinik Kesihatan (KK) Kampung Balai, Bachok bagi mendapatkan sesi kaunseling.

"Saya masih tak boleh bayangkan keadaan anak ketika diserang kumpulan anjing itu, tak terbayang rasanya.

"Setiap malam dia menangis dan masih belum berselera nak makan, jika ajak ke lokasi kejadian pun dia masih takut-takut," katanya ketika ditemui selepas lawatan EXCO Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah di Kampung Tar, Kemasin, di sini, hari ini.