JOHOR BAHRU: Astaka Holdings Limited yang sebelum ini terbabit dalam sektor pembangunan hartanah kini beralih kepada perniagaan teknologi kesihatan (HealthTech) menerusi pelancaran jenama SOL, dengan menyasarkan peluang pertumbuhan dalam pasaran penyelesaian kualiti udara dalaman di Asia.

Langkah itu menyusul pelupusan perniagaan pembangunan hartanah kumpulan, termasuk Astaka Padu Sdn Bhd dan anak syarikatnya pada 3 September lalu, sekali gus menandakan perubahan hala tuju perniagaan Astaka kepada sektor teknologi kesihatan.

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, SOL Tech (S) Pte Ltd, kumpulan berkenaan memperkenalkan produk pencahayaan menggunakan nanoteknologi yang diaktifkan cahaya bagi membantu mewujudkan persekitaran dalaman lebih bersih dan higienik.