PETALING JAYA – Sedar dirinya didiskriminasi, pelakon dan model Sharifah Haneesya menegaskan tidak pernah berasa rendah diri dengan warna kulit gelap seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menurut Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan 26, dia berbangga memiliki warna kulit yang dianggap sebagai ‘kontra’ daripada pelakon lain.

“Warna kulit gelap tidak pernah menyusahkan diri sendiri dan saya lantang berkongsi mengenai isu warna kulit bukan kerana mahu layanan istimewa.

“Kadang-kadang saya takut kalau bercerita, orang akan salah faham. Saya bukan bercakap mengenai kulit gelap untuk meminta simpati atau merayu mendapatkan tawaran kerja.

“Saya cuma berkongsi pengalaman dan memberitahu bahawa keadaan itu sukar untuk saya lalui tetapi orang salah tafsir dan fikir saya mahu jalan pintas dan perhatian, sedangkan tidak,” katanya dalam temu bual audio siar bersama pengacara, Datuk Aznil Nawawi.