MELAKA – Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia membayar pampasan berjumlah RM12.185 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami kecederaan otak ketika proses kelahirannya di Hospital Melaka pada 18 Februari 2018.
Jumlah pampasan yang diberikan kepada Hanan Qaireen Mohd. Sukri, 8, itu adalah antara yang tertinggi bagi kes kecuaian perubatan membabitkan hospital kerajaan di Malaysia setakat ini.
Keputusan taksiran ganti rugi itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim selepas mendapati jumlah berkenaan munasabah bagi menampung keperluan penjagaan plaintif yang disahkan menghidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia.
Dalam keputusan hari ini, mahkamah memberikan ganti rugi khas berjumlah RM441,754.83, ganti rugi am RM500,000, ganti rugi am masa hadapan RM10,765,969.28 serta ganti rugi teruk RM300,000.








