IPOH – Murid Tahun Enam yang terselamat dalam kemalangan di Jalan Perpaduan, di sini hari ini, masih belum mengetahui bahawa kakak dan adik bongsunya telah meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Kakak sulung mangsa, Nurul Aeina Ibrahim, 28, berkata, perkara tersebut belum dimaklumkan kepada Norhayati Qaliesha, 12, kerana keadaannya yang masih kritikal dan perlu menjalani pembedahan.

“Dia dah sedar dan ada tanya (keadaan dua adik-beradik lain) tapi kami belum beritahu lagi.
Keadaannya pun masih kritikal dan sedang menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bagus, Tambun di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi tadi, dua beradik, Elyana Nasuha, 19, dan Suhaila, 10, maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu wanita berusia 19 tahun.