KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Denmark sekali gus menamatkan penantian 18 tahun Malaysia bagi kemaraan ke kelompok empat terbaik acara itu.

Pasangan No. 5 dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan beregu India, Gayatri Gopichand Pullela-Treesa Jolly yang menghuni ranking ke-18 dunia, menerusi kemenangan 14-21, 21-17, 21-11 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 55 minit di Odense, hari ini.

Pearly-Thinaah pada awalnya bergelut dengan beberapa kesilapan sendiri sebelum bangkit mengawal permainan, malah berjaya mengatasi defisit 10-14 pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.