KLANG – Kehilangan seorang lelaki yang dipercayai memancing di tepi Tasik Bukit Raja di sini terungkai apabila mayatnya ditemukan terapung di tasik berkenaan pada Jumaat.Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 12.45 tengah hari.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam Khamis.Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.45 malam."Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti memancing."Motosikal, peralatan memancing dan selipar milik mangsa ditemukan di tepi tasik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan menggunakan sebuah bot aluminium dan sebuah bot jenis HDPA bagi melakukan pencarian di permukaan air."Operasi itu turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan BBP Shah Alam," katanya.Ashrul Riezal berkata, mangsa berjaya dibawa naik pada jam 1 tengah hari sebelum disahkan oleh warisnya."Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut."Operasi itu membabitkan seramai 15 anggota JBPM, 15 pegawai dan anggota PDRM serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.