Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu hampir RM40 juta wang pelaburan direkodkan masuk ke akaun bank Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet) daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 2018.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad cawangan Bukit Damansara, Tay Lay Hong, 54, berkata, jumlah itu membabitkan empat transaksi kemasukan wang antara Mac hingga Disember tahun berkenaan.

"Semakan penyata akaun syarikat itu mendapati Khazanah memindahkan RM7.84 juta pada 23 Mac 2018 dan RM11.74 juta pada 26 Mac 2018.

"Manakala PNB merekodkan pemindahan RM11.95 juta pada 4 Jun 2018 dan RM8.36 juta pada 20 Disember 2018," katanya.