KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperluaskan pasaran eksport Malaysia serta memperkukuh prestasi eksport negara menerusi inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2027.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin, berkata MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui pelaksanaan inisiatif pengukuhan eksport menerusi Program Pembinaan Kapasiti Eksport bernilai RM60 juta dan Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran bernilai RM50 juta.
Beliau berkata, inisiatif itu turut disokong oleh kemudahan pembiayaan bernilai RM1 bilion daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan RM10 juta menerusi EXIM Bank.
"Melalui pelaksanaan 200 aktiviti promosi eksport, program ini bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,500 syarikat tempatan dengan sasaran jualan eksport mencecah RM12 bilion menjelang akhir 2027," katanya dalam satu kenyataan.








