PETALING JAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang terus diperkukuh menerusi mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara, akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.

Katanya, Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua meningkat sebanyak 74.7 peratus pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.