PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menyambut Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sempena lawatan negara pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 2014.
Anwar berkata, beliau turut mengiringi Sultan Ibrahim menerima kunjungan menghadap Presiden El-Sisi sebelum delegasi kedua-dua negara diraikan dalam Majlis Santapan Negara.
Menurut beliau, kunjungan itu mencerminkan hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Mesir yang terus diperkukuh sejak sekian lama.
Katanya, lawatan berkenaan turut memperlihatkan tekad kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dan melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi demi manfaat rakyat Malaysia dan Mesir.









