Kuala Lumpur: Selepas lebih sebulan tragedi helikopter Bo-105 terhempas di Long Lellang pada 8 September lalu yang mengorbankan lima nyawa, penyiasat masih belum dapat merumuskan punca sebenar nahas itu.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) menerusi laporan awal yang dikeluarkan hari ini menyatakan siasatan keselamatan masih dijalankan, manakala data fakta yang tersedia setakat ini masih berada pada peringkat awal.

"Usaha berterusan untuk mengumpul fakta berkaitan operasi penerbangan, amalan operasi standard dan sejarah penyelenggaraan helikopter akan menyediakan bukti yang diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan langkah perlindungan sistem serta menilai sebarang keadaan tersembunyi yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan," menurut laporan itu.