KUALA LUMPUR: Laporan siasatan awal nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Long Lellang, Sarawak, akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan yang disediakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu mendapati juruterbang helikopter terbabit memiliki lesen penerbangan, kelayakan mengendalikan penerbangan serta sijil perubatan yang sah.
“Susulan kemalangan udara tersebut, BSKU, Kementerian Pengangkutan telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan kemalangan udara tersebut. Laporan siasatan awal oleh BSKU telah disediakan dan dijangka akan dibentang kepada Jemaah Menteri pada 16 Oktober 2026.









