KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menambah 1,793 peralatan bantuan pernafasan bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan menghadapi peningkatan masalah kesihatan susulan jerebu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penambahan itu merangkumi 841 alat bantuan pernafasan jenis aerochamber untuk dewasa, 396 untuk kanak-kanak dan 556 mesin nebulizer.

"Khusus bagi memastikan kesiapsiagaan sistem kesihatan, KKM turut memperkukuhkan keupayaan fasiliti kesihatan melalui penyediaan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat penyakit berkaitan jerebu.

"Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) atas perkongsian maklumat berkaitan kualiti udara, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan keadaan jerebu bagi menyokong penilaian risiko serta tindakan kesihatan awam.